Bergembira Menyambut Kelahiran Nabi Muhammad SAW Merupakan Syariat Allah

Bersempena dengan kelahiran Baginda Sallahu Alaihi Wasalam, kita disyariatkan untuk bergembira saat menyambut akan kelahiran Baginda Sallahu Alaihi Wasalam. 

Bergembiranya kita kerana dengan asbab kelahiran Baginda S.A.W, Allah berikan kebaikan kepada sekalian umatnya.



Telah diceritakan dalam sirah An Nabawiyyah akan satu peristiwa saat Abu Lahab gembira menyambut kelahiran Baginda S.A.W.

Lihatlah bagaimana saat Abu Lahab mendengar akan khabar kelahiran Baginda melalui hambanya, iaitu Suwaibah Al Aslamiah.

Lalu apa yang dilakukan oleh Abu Lahab? Maka dilepaskan dan dibebaskan hambanya itu, Suwaibah.

Dan ada riwayat lain mengatakan juga, Abu Lahab menyedekahkan 100 ekor unta kepada sekalian masyarakat pada ketika itu, saat mendengar khabar Siti Aminah, ibunda Baginda Nabi Muhammad S.A.W, melahirkan seorang putera.

Oleh kerana kegembiraan yang ditonjolkan oleh Abu Lahab, walau kita mengetahui secara umumnya, beliau merupakan orang yang benci dengan Islam, dan juga musuh utama kepada Baginda, sehinggakan Allah telah melaknat Abu Lahab dengan mencelanya di dalam Al Quran pada Surah Al Lahab.

Tapi, diberikan padanya keringanan siksaan di Neraka pada setiap malam Isnin, ini yang para Ulama’ kita menyampaikan.

Dimanakah dalil yang mengatakan keringanan siksaan padanya?

Al Imam Ahmad Bin Muhammad Al Qastalani, Telah menulis di dalam kitabnya, “Al Mawahib Al Ladunniah Bil Minah Muhammadiah”, ada menyebut akan perkara ini, iaitu keringanan bagi Abu Lahab bagi penyiksaan pada beliau setiap malam Isnin, kerana kegembiraannya menyambut kelahiran Nabi.

Yang mana dituliskan oleh Al Imam Ahmad Al Qastalani, sejauh manakah keringanan azab yang Allah berikan pada Abu Lahab di dalam Neraka?

Di dalam kitab ini menyebutkan sekadar dengan menghisap air di antara jari jemari Abu Lahab, dia menunjukkan di hujung ibu jarinya. Itu beliau mendapatkan keringanan kerana saat dia merdekakan Suwaibah.



Dalam riwayat lain mengatakan, Abnu Bathal gambarkan bahawa banyaknya air minum yang didapatkan Abu Lahab ibarat seorang anak yang sedang menyedut ibu jarinya.

Itu Abu Lahab, seorang yang menjadi musuh utama kepada Baginda Nabi, diberikan keringanan Azab oleh Allah.

Bagaimana pula bagi seorang yang Muhibbin (Seorang yang mencintai Baginda Nabi) sepenuh hati dan jiwa raganya?

Sudah tentu, Allah akan berikan kebaikan kepada Hamba-hambanya yang mencintai Baginda Nabi S.A.W.

Kata Abuya Sayyid Muhammad Abbas Al Maliki Al Hasani, gembira dengan kelahiran Nabi itu merupakan perkara yang di syariatkan oleh Allah.

Di dalam Al Quran pada Surah Yunus di ayat ke 58, telah disyariatkan oleh Allah Taala untuk kita bergembira pada perkara yang disyariatkan, iaitu pada ayat ;

‏قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا۟ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ . (٥٨) سورة يونس.

Yang maksud terjemahannya ialah ;

Katakanlah (wahai Muhammad) "Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".

Para Mufassirin menafsirkan ayat ini, gembiranya kita kerana pada 2 perkara iaitu pertama saat diwahyukan kepada Baginda Nabi sebuah Kitab yang agung sebagai petunjuk kepada sekalian umat iaitu Al Quran, dan juga yang kedua Baginda Nabi S.A.W itu adalah Rahmat bagi sekalian umat.

Telah datang satu lagi ayat yang menyokong bahwasanya Baginda Nabi itu adalah Pembawa Rahmat bagi sekalian Umat iaitu pada ayat di Surah Al Anbiya’, ayat yang ke 107.

‏وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ (١.٧) سورة الأنبياء .

Yang mana mafhum terjemahannya ialah;

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Jadi, para Ulama’ kita telah memberikan penjelasan berserta dalil akan pensyariatan bergembira menyambut kelahiran Baginda Nabi S.A.W.

Ayuh sama-sama kita memperingati akan kelahiran Baginda S.A.W. Dengan satu tujuan moga kita diberikan kebaikan dunia dan akhirat serta mendapat syafaat daripada Baginda Sallahu Alaihi Wasalam.

Comments