Hadith-Hadith Sahih Berkaitan Kelebihan Guru

Antara hadith-hadith yang diriwayatkan bertaraf sahih atau hasan berkenaan kelebihan guru atau pendidik adalah:

• Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW:

وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

• Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW:

وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi.
Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

• Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW:

فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ

Maksudnya: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

• Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

• Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

Maksudnya: “Ketahuilah ! sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah SWT dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2244]

• Diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah SAW:

مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]




Feqah al-Hadith

Berdasarkan hadith-hadith yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa fiqh al-Hadith atau pengajaran daripada hadith iaitu:

• Guru adalah seorang insan yang mulia dan tinggi kedudukannya.

• Tugas guru atau mendidik adalah satu tugas yang mulia kerana ia juga adalah tugas para nabi dan rasul.

• Di dalam al-Quran dan juga hadih Nabi SAW banyak menceritakan akan galakan untuk menuntut ilmu dan salah satu wasilah atau caranya adalah dengan berguru.

• Para guru dan pendidik akan mendapat pahala yang besar dengan setiap ilmu yang diajarkannya.

• Kesemua makhluk Allah SWT samada di langit atau di bumi sentiasa mendoakan kebaikan kepada para guru dan pendidik.

• Mendidik atau mengajar akan terselamat dan bebas daripada laknat Allah SWT.

• Setiap yang diajar itu akan mendapatkan pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

Comments