Peristiwa Nuzul Al-Quran

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira', bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat sunnah.
Maka peristiwa Nuzul al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya.


Pengertian Nuzul Al-Quran
        Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.
        Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:
وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.”
(Surah al-Baqarah:22)

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ
Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.”
(Surah Ali-Imran:3)


PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN.

Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, Dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu;
Pertama, Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;
Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan
Ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.
.
Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah SAW melalui Jibril a.s.
.
1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
.
.
2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia
Penurunan kali kedua secara sekali Gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas;
.
Allah SWT berfirman, dalam al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
.
Firman Allah SWT, dalam ad-Dukhan, ayat 3:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
.
Firman Allah SWT  dalam al-Qadr, ayat 1:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
.
Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia.
.
Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”
.
.
3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah SAW
Menurut sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan majoriti para mufassirin, Al-Quran diturunkan sekaligus ke Baitul Izzahdi langit ke dunia pada malam Lailatul Qadar. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
.
Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah SAW dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah al-Munawwarah. Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah .
.
Mengikut pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 tahun. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.
.
RasululLah SAW bersabda: Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun(Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada Rasulullah SAW.
.
.

AYAT PERTAMA DAN TERAKHIR

.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”(al-‘alaq:1-5)
 .
Dan peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah SAW sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
.
.

CARA-CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN

.
Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
.
Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”
 .
.
Nabi Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
.
1. Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan:  Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang telah ditetapkan oleh Allah“.  ( As-Syura: 51)
.
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
.
3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa”.
.
4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”
 .
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.
.
.

TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN BERPERINGKAT

Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif-objektif berikut :
  • Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat ‘Aisyah r.a.
    Di antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
    Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
.
  • Memudahkan penghafalan. Orang-orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32:
“……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?”
Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri:
“….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..”.
.
.

FUNGSI AL-QURAN

Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:
.

1. Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri. Rasullulah SAW telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Didapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka. Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaitu :
.
Peringkat pertama.
Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.
Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (17 : 88)
.
Peringkat kedua.
Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan mereka mengatakan “Muhammad telah membuat-buat Al-Quran.” Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah” (11 : 13-14)
.
Peringkat ketiga.
Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:
Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya” (10 : 38)
Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya:
Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…” (2 : 23 )
.
.

2. Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.

Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya.
Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.

Tujuan Al-Quran Diturunkan
     Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandugannya sebagaimana firman Allah SWT:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Surah As-Sad: 29)
           
          Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.
         Persoalannya bagaimanakah Allah SWT memberkati rezeki yang sedikit? Pertamanya Allah memberikan rasa qana’ah (mencukupi) kepada tuannya. Kedua, rezeki yang sedikit itu dibelanjakan kepada perkara yang memberi faedah sahaja. Ramai yang menyangka bahawa rezeki hanya harta. Perlu diingat rezeki juga ialah tidak membelanjakan kepada perkara yang dilarang.
          Maksud al-Quran Mubarak ialah ayat-ayatnya punyai keberkatan dari sudut hukum zahir di mana ia mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah. Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan manusia ialah penyelewengan. Kerana itu sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang mukmin makan dengan perut yang satu dan orang kafir makan dengan tujuh perut.”
(Riwayat Muslim)

       Seterusnya Syeikh Sya’rawi mentafsirkan maksud tadabbur ayat-ayatnya ialah bukan melihat secara luaran tetapi memerhatikan kandungan ayat dengan berfikir dan memandang jauh serta melihat kepada kesudahan.
         Penting juga kepada kita melihat kepada luaran dan perkara-perkara yang perlu, untuk menjadikannya sebgai rumusan di akhir dan juga pengajaran. Ketika Nabi Khidir merosakkan perahu, ia ditentang oleh Nabi Musa A.S. Pandangan Nabi Musa adalah bersifat luaran di mana Baginda melihat kapal yang elok lebih baik dari kapal yang rosak.
         Bagi Nabi Khidir pula mempunyai kekurangan yang lain. Ukurannya ialah mana yang lebih baik antara ada perahu dengan tidak ada perahu. Jika perahu ada, lelaki yang zalim akan merampasnya.
          Tetapi jika perahu yang elok kemudian dirosakannya maka lelaki zalim tidak mengambilnya, terselamat dari rampasan lelaki zalim dan perahu itu masih menjadi hak milik tuannya.
            Allah SWT menggesa kita merenung dan tadabbur ayat-ayatnya keranaAllah mengetahui bahawa apabila kita merenung dan mentadabbur ayat-ayatnya kita akan merasa cukup dan menerima dengan hati terbuka seterusnya akan kita memperoleh kebenaran.

Keistimewaan Al-Quran
            Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim.” Antara lain menyebut:
  • Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya:
الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ
Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada Allah SWT Yang Maha Mendalam pengetahuannya.
(Surah Hud:1)

  • Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.”
(Surah al-Hijr: 9)
      Maksud hafizun dalam ayat ini dengan pemeliharaan Allah dari sebarang perubahan dan pertukaran seperti kata Ibn Kathir.

  • Al-Quran adalah mukjizat. Firman Allah SWT:
قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ
 بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Maksudnya: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”
(Surah al-Isra’:88)

        Dalam buku al-I’jaz al-Ilmi oleh Yusuf al-Haj Ahmad antara lain menyebut: “Tidak diragukan lagi bahawa sudut kemukjizatan al-Quran al-Karim begitu pelbagai dan tepat. Dari aspek kepelbagaiannnya antara lain kemukjizatan saintifik, kemukjizatan legislatif, kemukjizatan retorik, kemukjizatan metafisik, kemudian yang terakhir kemukjizatan artistik-ilustratif. Sementara dari ketepatannya, kita boleh melihat sejumlah amaran yang dibuktikan kebenarannya oleh sains moden dari waktu ke waktu. Fakta-fakta alamiah (bahanal) mahupun imbahanal ini semakin menegaskan dan mendukung isyarat yang diberitakan al-Quran.

  • Al-Quran kitab nyata lagi mudah. Firman Allah SWT:
فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Maka sesungguhnya kami memudahkan al-Quran dengan bahasamu (hai Muhammad) semoga mereka mengambil pengajaran.”
(Surah ad-Dukhan: 58)

  • Al-Quran kitab zaman semuanya. Ianya bermaksud kitab yang kekal dan bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi sahaja. Tetapi al-Quran sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.

  • Al-Quran kitab agama keseluruhannya.Maksudnya ialah ianya menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyri’ dan hukum hakam.

  • Al-Quran merupakan kitab insani sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:
إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.”
(Surah al-Takwir: 27)

           Penulis menukilkan dari Detik Islam yang bertarikh 10 Ogos 2012 berkenaan dengan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antaranya menyatakan: “Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan terhadap daya ingatan dan memberikan ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.”
       Dr. Al-Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa Arab mahupun bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.
      Penurunan tekakanan, kesedihan, memperoleh ketenangan jiwa, merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya. Penemuan kajian ini dilihat tidak menentu.
           Penelitiannya disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dari hasil kajiannya, beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuhan penyakit.
           Kajian Dr. Al-Qadhi ini diperkuat pula oleh kajian lain yang dilakukan oleh doktor yang berbeza. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Pertubuhan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya.
         Kesimpulan hasil kajian tersebut diperkuatkan lagi oleh kajian Muhammad Salim yang diterbitkan Universiti Boston. Sasaran kajiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita.
        Kelima orang tersebut sama sekali tidak mahir bahasa Arab dan mereka pun tidak diberitahu bahawa mereka akan diperdengarkannya adalah al-Quran.
         Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu membaca al-Quran dengan tartil dan membacakan Bahasa Arab yang bukan dari al-Quran. Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sehingga 65% ketika mendengar Bacaan al-Quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar Bahasa Arab yang buka dari al-Quran.
          Al-Quran memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati sewaktu Seminar Kaunseling Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran dari perakam suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang.
          Sungguh suatu kebahagiaan dan merupakan nikmat yang besar., kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.
          Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (eq) seseorang, bacalah al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ).
           
Matlamat Al-Quran
Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:
  • Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
  • Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.
  • Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
  • Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
  • Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
  • Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

Pendapat Ulama Berkenaan Al-Quran
            Dinyatakan di sini beberapa kenyataan ulama dan tokoh berkaitan Quran.
  • Imam Syafie berkata: Setiap yang bercakap berdasarkan Kitab dan Sunnah, maka itulah sebenarnya. Adapun selain keduanya, dilihat sia-sia.

  • Al-Harith al-Muhasibi berkata: Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.

  • Fudhail bin Iyadh berkata: Penjaga al-Quran sentiasa mengelak dari menderhakai Tuhannya. Bagaimana mungkin mereka melakukan maksiat sedangkan setiap huruf dari al-Quran menyerunya “Demi Allah, jangan engkau ingkari perkara yang engkau bawa dariku.”

  • Abdul Qadir al-Jilani berkata: Wahai kaumku, berlaku baiklah kepada al-Quran dengan beramal dengannya bukan dengan berdebat.

  • Ibn Taimiyah berkata: Al-Quran mampu menghilangkan segala penyakit yang menyebabkan keinginan-keinginan jahat, sehingga sihatlah jiwa dan bersihlah keinginannya dan kembalilah seseorang itu kepada fitrah yang telah ditanam oleh Allah SWT sepertimana badan kembali sihat.

  • Ibn Qayyim berkata: Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang Allah SWT tajalli kepada-Nya untuk hamba-hamba-Nya dengan sifat-sifat-Nya.

  • Imam Muslim berkata: Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah SWT mematikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.

  • Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah sumber yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.

  • Mustafa al-Sibaei menyebut beberapa ungkapan antaranya:
  • Kesan al-Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya. Membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal.
  • Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain.
  • Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal dengannya. Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung.
  • Al-Quran di tangan-tangan orang Islam ibarat senjata di tangan orang-orang jahil.

  • Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengungkapkan banayak kata-kata antaranya:
  • Al-Quran merupakan minhaj atau jalan serta cara bagi kehidupan manusia.
  • Al-Quran sebagai dustur kepada sebarang hukum.
  • Al-Quran sebagai dustur kepada dakwah.

Penutup
            Al-Quran selain merupakan tilawah, ianya juga penawar hati dan fikiran. Ianya mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Kepentingan dan manfaat al-Quran digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis berikut:

  • “Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya, bagaimana untuk menyucikannya, ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab, dengan membaca al-Quran dan mengingati mati.”
  • “Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
  • “Ahli al-Quran ialah Ahlullah. Bacalah al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan dan huruf yang dibaca.
  • “Tiap-tiap ayat di dalam al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu.”
  • “Rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan al-Quran, sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan.”

          Kita perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup, selain ianya merupakan penghibur jiwa dan sumber ketenangan.

Salam Nuzul Al-Quran



Sumber:
1. http://muftiwp.gov.my/
2. shafiqolbu.wordpress.com

Comments