9 April 1948 : Tragedi Penyembelihan Deir Yassin

Deir Yassin dahulunya adalah sebuah perkampungan kecil orang-orang Palestin yang terletak di sebelah barat wilayah BaitulMaqdis.

Pada 9 April 1948 penduduk Deir Yassin dikejutkan dengan perintah yang keluar dari corong-corong pembesar suara supaya mereka mengosongkan kampung mereka. Sebelum mereka mengetahui dan memahami apa yang berlaku, mereka telah dibunuh terlebih dahulu oleh kumpulan pengganas Yahudi Zionis dari kumpulan Stern, Irgun dan Haganah.

Peristiwa ini lebih dikenali dengan nama Pembunuhan Deir Yassin. Sebuah peristiwa hitam yang berlaku ketika Zionis bersiap sedia hendak menubuhkan sebuah 'negara' buat kaum mereka, yang diberitakan oleh salah seorang pimpinan Zionis, Ben Gurion bahawa jika bukan kerana peristiwa Deir Yassin ini, negara Israel tidak akan terbentuk.



Pagi itu, 9 April 1948, dua kelompok pengganas yang dibentuk oleh Zionis melakukan pembunuhan pertama kali di Palestin. 72 tahun yang lalu, Irgun kelompok pengganas yang dipimpin oleh Menachem Begin dan Stern Gang yang dibentuk oleh Avraham Stern menyebut dirinya sebagai Lohamei Herut Yisrael atau pejuang untuk kemerdekaan Israel. Mereka menyerang perkampungan yang bernama Deir Yassin yang berpenduduk 750 orang. Pagi itu, kaum Zionis membunuh dengan keji, menyembelih tanpa simpati, bahkan berbangga diri.

Selepas pembunuhan, Menachem Begin mengumumkan diri sebagai pelaku yang gagah berani. Tidak kurang dari 250 orang telah mati di tangannya, dan kelak sejarah ini yang akan mengantarkan Menachem Begin menduduki kerusi Perdana Menteri Israel Raya. Hari itu, ketakutan yang luar biasa menjalar dari rumah ke rumah. Penduduk Palestin menjadi pelarian, sebahagian tidak kembali lagi. Itulah yang diinginkan oleh teroris yahudi. Membuat peristiwa besar yang mengerikan, melahirkan ketakutan yang besar, dengan sendirinya orang-orang akan meninggalkan tanah dan rumah yang mereka diami.

Perkampungan Deir Yassin sebelumnya adalah perkampungan yang tenang dan permai. Berada di tengah-tengah antara Jerusalem dan Tel Aviv, Deir Yassin menjadi salah satu wilayah yang sangat strategik. Bertahun-tahun sebelum peristiwa Jumaat pagi yang kelam itu, kelompok Zionis telah merancang rencana pembersihan penduduk Deir Yassin.

Pada 8 April 1948, kelompok teroris Yahudi yang bersenjata ini berjaya mengumpulkan pasukan sebanyak 132 orang. Sebanyak 72 orang dari Irgun, dan selebihnya 60 orang tersenarai sebagai anggota Stern Gang atau yang dikenal juga dengan sebutan Lehi. Mereka dlengkapi dengan senapang, pistol automatik dan juga bom-bom tangan yang siap digunakan. Sekumpulan pasukan Lehi menyerbu Deir Yassin dari arah timur. Jam 3.00 pagi hari, pasukan Irgun datang dari barat.

Pertempuran bersenjata pun terjadi antara pasukan pengganas Zionis dengan anggota keselamatan Palestin. Pasukan Irgun mendapat tentangan daripada penduduk di sebelah barat perkampungan. Beberapa anggota Irgun tercedera, salah satunya bernama Ben Zion Cohen. Mereka menawan penduduk dan terus menyerang. Jatuhnya beberapa pasukan membuat Irgun berundur, dan memutuskan menyembelih semua tawanan. Mereka kemudian bergabung dengan pasukan Stern Gang yang nampak menang. Mereka terus melancarkan serangan dari sebelah barat.

Menjelang solat Jumaat,tepat pukul 11.00 pagi, lebih daripada 100 orang lelaki telah dibunuh. Anak-anak dan perempuan di kampung itu, juga telah mati. Bantuan dari wilayah lain yang mendengar serangan itu terhenti di luar pemukiman kerana dihalang oleh kelompok pengganas Zionis lainnya yang bernama Haganah. Tepat waktu tengah hari, 25 orang penduduk lelaki diangkut dengan trak dan ditembak mati di luar perkampungan di antara Givat Shaul dan Deir Yassin.

Hari itu adalah peristiwa pembunuhan pertama yang dilakukan oleh pengganas Zionis ke atas rakyat Palestin. Dua hari selepas itu, seorang anggota Palang Merah Palestin, Jacques de Reynier berjaya memasuki Deir Yassin. Telinganya masih mendengar tembakan pembunuhan dan jeritan rakyat Palestin yang diseksa. Jacques de Reynier tidak banyak menemui yang masih hidup, bahkan kanak-kanak dibunuh dengan kejam.

Fahimi Zeidan, seorang gadis cilik yang kala itu berumur 12 tahun terselamat untuk menyatakan pengalamannya pada dunia.

"Saya bersembunyi di sebalik pintu ketika pasukan datang. Mereka menghancurkan pintu. Saudara perempuan saya yang menjerit ketakutan terus ditembak mati. Lalu mereka memanggil saudara lelaki saya, Mahmoud. Dia ditembak di depan mata saya ketika itu juga. Ibu saya menangis sekuat-kuatnya sambil mengendong adik saya yang terkecil. Ibu memeluk tubuh Mahmoud. Lalu mereka menembak mati ibu juga", ujar Fahimi Zeidan tentang peristiwa itu.

Palang Merah menghitung sebanyak 150 orang menjadi tawanan, 70 di antaranya tercedera parah. Mereka dikurung di dalam sebuah sekolah dan diancam akan diletupkan jika melawan.

13 April 1948, New York Times melaporkan korban pembunuhan dalam peristiwa Deir Yassin sebanyak 254 orang. Haganah yang menwakili pihak rasmi penduduk Yahudi menolak mentah-mentah penglibatan mereka. Haganah malah menuduh Irgun dan Stern Gang sebagai kelompok pengganas yang menjadi pembangkang pihak rasmi. Bahkan untuk menyakinkan dunia Islam, Ben Gurion mengirim surat rasmi memohon maaf kepada Raja Abdullah, pemerintah Trans Jordan.

Tetapi hari ini kita semua tahu,semua yang mereka katakan adalah dusta. Suatu bukti kecil yang boleh dicatatkan adalah naiknya Menachem Begin menjadi Perdana Menteri Israel ke VI setelah Yithzak Rabin. Tidak hanya itu, Menachem Begin bahkan mendapat anugerah Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1978.

Setelah kejadian itu, berbondong-bondong penduduk Palestin menjadi pelarian dan menyelamatkan diri. Mereka ketakutan dan meninggalkan rumah serta tanah yang mereka miliki. Keadaan ini terus dimanfaatkan oleh Irgun dengan menakut-nakutkan penduduk Palestin yang semakin ketakutan. Pelarian beramai-ramai pun terjadi dan ini dimanfaatkan sebagai perampasan wilayah Palestin oleh Zionis Israel.

Sesungguhnya, dua kelompok pengganas Irgun dan Stern Gang tidak mampu bekerja sendiri tanpa didukung kekuatan kewangan. Satu daripada kelompok yang mendukung keperluan dana terorisme Zionis ini adalah lembaga yang bernama American Friends of the fighters for the freedom of Israel di Amerika yang dipimpin oleh Shepa Rifkin. Parahnya, Rifkin juga Pengarah Eksekutif dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menguruskan masalah pembahagian wilayah Palestin atau yang lebih dikenali dengan UN Partition.

Tidak hanya orang-orang seperti Rifkin yang terlibat, bahkan intelektual sekelas Albert Einstein pun terlibat dalam usaha memobilisasi dana bagi kegiatan keganasan seperti Irgun dan Stern Gang. Dana tersebut dikumpulkan dengan tujuan mendirikan Israel Raya. Tapi sehari selepas peristiwa Deir Yassin, Albert EInstein terburu-buru menulis surat satu halaman yang mengandungi pernyataannya tentang Irgun dan Stern Gang yang disebutnya sebagai pengganas dan penjenayah.

Surat Einstein itu kini disimpan oleh Deir Yassin Remembered, sebuah yayasan yang dibentuk khusus untuk mengingati tragedi pembunuhan Deir Yassin. Lembaga ini membeli surat Einstein tersebut dari balai lelong Sotheby's berharga 8,500 Dolar Amerika, tambah 1,700 dolar untuk komisyen dan 175 dolar untuk biaya pengiriman.

Inggeris tidak berbuat apa-apa saat itu, padahal Palestin masuk dalam wilayah protektorat Inggeris. Ini menjadi bukti bahawa dunia antarabangsa telah melakukan konspirasi besar untuk membelah Palestin, membunuh penduduknya, merampas tanahnya dan mengusir orang-orangnya. Semua sejarah tentang Palestin telah membuktikan pembohongan yang nyata negara-negara besar seperti Inggeris, Amerika Syarikat dan sekutunya. Tidak ada yang berubah hingga detik ini, dan peristiwa Deir Yassin harus diingat oleh manusia, bahawa ada konspirasi besar ke atas Palestin dan Tanah Suci Al Quds.

Peristiwa Deir Yassin ini membangkitkan penentangan rakyat Arab. Mereka berjuang dan mengobarkan jihad yang diberi nama gerakan Jihad al-Muqaddas yang dipimpin oleh Abdul Qadir al-Husaini di dalam Palestin sendiri. Sementara di luar Palestin, gerakan Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hassan al-Banna memobilisasi para pejuang Ikhwan yang jumlahnya sampai 70,000 untuk masuk dan berjihad membela Palestin. Sayangnya, gerakan para mujahidin Ikhwan ini akhirnya terputus dan dihalang oleh pemerintahan Mesir sendiri yang telah melakukan pengkhianatan pada perjuangan rakyat Palestin melawan Zionis Yahudi. Salah satu alasannya waktu itu, Mesir adalah wilayah kekuasaan Inggeris.



Dipetik dan diubahsuai dari buku:Membongkar Perancangan Israel Raya,Herry Nurdi,Alam Raya Enterprise.

Comments